Pertama kali dalam sejarah hidupku melepak di Suria KLCC berseorangan akibat sakit kaki. Nasibku agak baik kerana Doc Martens ku masih berfungsi dengan sempurna mengurangkan keperitan pada kaki kiri ku. Inilah akibatnya bila badan ku yang pipih bak dugong menari ballet membuli kaki ku yang comel bersaiz 10.
Akhirnya aku terpaksa mengangkat bendera putih melabuhkan punggung cheetah, pingang kerengga dan abdomen michelin ku di tempat duduk berhadapan lif Suria KLCC. Timbul idea untuk membuat kajian dan hipotesis tentang pengunjung Suria KLCC sementara menunggu sahabat lama sekolah ku tiba di Aseana cafe untuk mesyuarat cerut dan teh tarik. Agenda utamanya untuk sambutan jubli emas usia kami yang bakal disambut bersama usia sekolah kami yang tercinta pada tahun hadapan.
Sejurus aku cuba melayukan mata untuk bertapa sementara, tiba-tiba aku dikejutkan dengan pekikan beberapa ahli rombongan pelancong, kalau tak silap aku, dari China yang riuh mengumpulkan ahli rombongan. Memang telah menjadi budaya mereka agaknya memekik tanpa sedikitpun rasa hormat atau malu dari koridor Aras 3 kepada kawan-kawan di aras bawah yang masih mundar-mandir. Setahu ku bila di Beijing dahulu, beginilah caranya pemandu pelancong mereka berkomunikasi dengan rombongan pelancong sewaktu di Summer Palace atau Forbidden City.
Episod pertama yang menarik minat aku ialah memerhatikan kasut yang dipakai olrh para pengunjung yang lewat dihadapanku. Ada bermacam-macam jenis kasut yang dipakai. Yang paling menarik minatku ialah wanita yang memakai kasut bertumit tinggi dan bertapak setebal 4 inci. Agaknya bakal dilontarkan ke muka teman lelakinya yang curang. Kemudian ada pula gadis bermini skirt berkasut tumit tinggi yang runcing dan tajam (kata nenekku 'stilettos') menghayun langkah dengan deras sekali menuju ke kamar pembebasan toksik. Mungkinkah berkepul-kepul gas toksik yang dilepaskan dalam perjalanannya. Bayangkan kalau gas tersebut boleh dilihat dan pelbagai warna pula. Yang lelaki pula sepertimana biasa memang jarang yang tahu memilih kasut yang sesuai rekaannya. Nasihatku, elakkan memakai kasut bermuncung panjang sekiranya lelaki yang kurang ketinggiannya. Satu lagi, elakkan memakai kasut bertapak rata (flat) jika anda memakai sut atau kemeja dan slacks. Kasut demikian untuk pakaian casual brader... Amat selekeh dan merosakkan keindahan alam.
Sambil memerhatikan kasut-kasut yang dibawa berjalan oleh kaki terlintas di benak fikiranku untuk menerbikan filem pendek tentang kasut, kaki dan hayun. Tentu seronok membayangkan ke mana kasut dan kaki akan pergi dan apa sebenarnya yang membuatkan tempo perjalanan kaki dan kasut dipaksa oleh si hayun. Bayangkan kalau kita tidak berkaki...
Bagi kaum wanita, memang majoritinya mempunyai lebih daripada dua pasang kasut. Kepada sang suami, sabar sajalah bila di dalam kereta anda ada gerai kasut terpakai... sebenarnya ingin mengisytiharkan bahawa anda sudah ada cap mohor 'masih beristeri'. Atau mungkin sang suami pula ingin meletakkan kasut golf mereka di dalam kereta isteri? Adil kan?
Berbalik pada kisah di Suria... Lepas puas membuat kajian kaki dan kasut, pandangan ku mula terdongak sedikit ke bahagian bumper. Memang tidak dinafikan rakyat Malaysia dianugerahkan dengan pelbagai bentuk bumper yang pipih, yang kembung, yang lebar, yang bulat, yang tonggek dan yang sewaktu dengannya. Suka atau tidak, bumper ini lah yang mencorakkan gaya perjalanan dan hayunan kaki dan kasut. Ada yang turut bergoyang sepanjang hayunan, ada yang kaku sahaja bila kaki melangkah laksana Mr. Bean.
Selepas semakin ke atas, maka tibalah giliran untuk kajian tumbesaran dada... oleh kerana tafsirannya berbagai dan amat menarik, maka sempena hari Jumaat yang mulia ini laporan tersebut tidak relevan...
No comments:
Post a Comment