Tahun 1993 anakanda kedua ku Nik Atikah dilahirkan dan kami mengambil keputusan menggaji seorang pembantu Myanmar Muslim, Mariam namanya. Pada suatu malam sekitar masuk waktu Isya' waktu aku sedang berehat di dalam bilik, tiba-tiba Mariam menjenguk ke dalam bilik kami dan memberitahu ada kelibat orang masuk ke dalam kawasan porch rumah kami dan mencuri pakaian di ampaian.
Aku terus menerpa keluar dengan berbaju Melayu dan berkain pelikat. Ku lihat pintu pagar ternganga. Aku mencari disekitar laman tapi tak nampak kelibat. Tergerak pula hati nak menjenguk di belakang kereta ku... Tiba-tiba aku ternampak satu lembaga dibawah boot kereta ku. Lantas ku terus terkam dan duduk diatas badannya dan mencekik leher lembaga tersebut. Aku memekik "Oooo kau buat apa kat sini hah?"... Dia meronta tapi tak mampu nak melawan, sambil bersuara, "Tolong bang! Saya tak buat lagi bang! Tolong lepaskan saya bang, jangan panggil Polis bang!"... Lantas aku menyergah..."Kau diam!!! Jangan banyak cakap, nanti aku belasah kau mampus!!!"
Aku terus menjerit kepada anak jiran sebelah kiri rumah ku..."Boy tolong Uncle ambik tali, nak ikat pencuri ni". Boy datang membawa tali dan Ustaz Nasaruddin jiran di sebelah kanan rumah ku turut bergegas membantu kami. Setelah boy menelefon Polis, sebuah Landrover Polis datang membantu. Pencuri digari dan dibawa menaiki kereta ku ke Balai Polis Serdang. Sebelum beredar Polis menjumpai sebilah pisau, sebungkus nasi yang masih panas dan beberapa helai baju isteriku yang dicuri sebagai bahan bukti. Terlintas juga di fikiran ku, kalaulah pencuri tadi sempat menikam ku... tak pasal-pasal anak-anak aku jadi yatim. Tapi yang nasib baiknya walaupun aku hanya berkain pelikat tetapi seluar kecik ku tetap tak ku lupa...
Anak sulung ku Afiq berumur 3 tahun merengek nak mengikut ku ke balai. Ustaz Din duduk di belakang mengawal pencuri yang digari. Isteri ku terpaksa ikut sama sebagai saksi barang bukti.
Tiba di balai si Pencuri dapat ku lihat dengan jelas. Memang orang luar dari kawasan kami. Rupanya penagih dadah yang lari dari pusat serenti. Orang Terengganu, jadi akulah jadi jurubahasa sebab dialeknya terlalu pekat tak difahami pihak Polis. Si pencuri tiba-tiba memohon dengan Polis nak mengambil wuduk. Dia terus sembahyang dalam lokap dengan memakai seluar pendek dan ditutup dengan t-shirt yang ditanggalkan dan diikat dipinggang sekadar menutup kepala lututnya saja.
Pegawai Polis berbisik padaku..."Budak ni tak berapa betul ni tuan, baru lepas gian ni". Tiba-tiba anak ku pula merengek... nak membuang pulak dah... Mahu tak mahu anak ku melakar sejarah membuang di tandas di dalam lokap! Hebat anak aku...
No comments:
Post a Comment