Wednesday, April 18, 2012

AYAH KU PEROMPAK

Peristiwa ini masih terpahat di lubuk hati ku. Ia berlaku sekitar 15 tahun yang lalu. Pada suatu Jumaat yang mulia aku sedang memandu kereta Ford buruk ku menuju ke rumah pada waktu tengahari kerana dibenarkan pulang awal atas alasan ingin memulakan perjalanan pulang ke Kelantan selepas solat Jumaat kerana cuti Hari Raya bersama keluarga.

Selepas singgah di Esso Sungai Besi menuju ke Lebuhraya Seremban aku ingin meneruskan perjalanan setelah mengisi minyak. Belum sempat aku memandu keluar ke Lebuhraya Metramac kereta aku ditahan oleh seorang lelaki yang agak tinggi dan kurus tetapi tegap, berambut potongan G.I. dan bermisai yang memikul haversack besar. Bersama beliau kelihatan seorang wanita bertudung mendukung bayi dan 2 anak kecil berusia sekitar 3-4 tahun. Dengan penuh rasa ikhlas ingin membantu, aku memberhentikan kereta ku.

Aku menurunkan tingkap cermin dan lelaki tersebut terus bertanya, "Encik nak menghala ke Seremban ke?". Aku jawab "Saya hendak balik ke Serdang, kalau setakat plaza tol Serdang, bolehlah". Jawabnya lagi, "Boleh kami tumpang sampai tol pun tak mengapa". Maka aku pun terus mengajak mereka menaiki kereta ku.

Dalam perjalanan, lelaki tersebut menceritakan bahawa dia seorang komando dari kem Sungai Udang dalam perjalanan pulang ke kampung kerana bapanya meninggal, namun telegram lambat disampaikan oleh Pegawainya. Zaman ini telegram masih relevan. Beliau yang kelihatan agak marah dan gelisah menyambung cerita bahawa beliau telah dihantar oleh Polis Peronda ke stesen Esso tersebut kerana beliau pada asalnya ditahan Polis kerana disyakki membuat kecoh di pekan Sg Besi atas alasan tidak berpuas hati dengan Pegawainya.

Mula-mula cerita beliau boleh ku percaya, namun bila berlanjutan aku agak curiga. Tiba-tiba beliau berkata "Saya tak ada duit nak balik kampung, Encik bagi je berapa yang ada. Nasib baik Encik ni Melayu, kalau tidak saya dah bawak keluar pisau ni...".Perempuan dan kanak-kanak yang bersamanya langsung tidak bersuara. Aku dah boleh mengagak lelaki ini memang ada niat lain, lalu aku keluarkan dompet dan tunjukkan isinya pada beliau... "Nah ini saja yang saya ada, RM25, Ambillah....". Beliau tak berkata apa-apa dan sejurus tiba di plaza tol, aku minta dia turun di situ.

Nasib baik aku belum sempat ke bank, kalau tidak, langsung tak balik kampunglah kami dirompak dek mamat ni. Terfikir juga aku, betul ke yang dibawanya itu anak dan isteri? Bayangkan dia sanggup merompak aku di depan anak dan isteri sendiri, di hari Jumaat dalam bulan Ramadhan pula...

No comments: