Tuesday, October 4, 2011

Jalan Mountbatten, Jalan Batu...

Pertama kali menjejak kaki ke Jalan Mountbatten (Jalan Tun Perak) sekitar Januari 1976 rasanya Kuala Lumpur tidaklah sehebat mana... Pabila menuruni tangga bas Toong Fong di hadapan bangunan Eastern Smelting Co. (sekarang sudah tumbuh Maidin) aku merayau-rayau bersama kawanku Arwah Rafiee Hamzah di sekitar Jalan Silang, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan. Weld Supermarket yang asal adalah tempat golongan elit membeli-belah di zaman itu. Kadang-kadang kami mengikut saja langkah kaki melalui Malacca Street atau sekadar mundar-mandir di tapak Benteng berhampiran Naha Store yang menghadap Masjid Jamek. Tukang gunting rambut India di bawah pokok di tebing Sungai Gombak sering mempelawa kami bergunting rambut dengannya... tapi maklum saja aku hanya berumur hampir 12 tahun sewaktu itu amat takut dengan keadaan yang terlalu baru bagiku.

Rafiee menjadi jurupandu, teman sebilik dan kawan sebaya yang amat rapat. Maklum saja Rafiee anak Kuala Lumpur, tinggal di Sentul. Ibu Rafiee sering menyuruh Rafiee mengajak ku ke rumah mereka di Kampung Chubadak dan juga ke kedai runcit mereka di Sentul Pasar. Sekurang-kurangnya dapat juga aku makan masakan ibu Rafiee. Di situlah aku mula berjinak dengan makanan pedas bercili api... sesuatu yang agak asing bagi anak kelahiran Kelantan sepertiku. Seingat aku, Pak Hamzah, bapa Rafiee memandu kereta Morris Minor... aku suka melihat kereta tersebut kerana aku sentiasa kagum dengan kereta buatan British yang unik reka bentuknya...

Setelah lebih dari setahun membesar di KL berjauhan dari ibu aku mula berani berjalan seorang diri di sekitar Jln Mountbatten, Masjid India dan Jalan Tuanku Abd Rahman. Biarpun wang saku hanya sekadar cukup tambang bas dan makan nasi campur RM1.50 di Restoran Rakyat, tetapi aku mesti kenali Kuala Lumpur dengan lebih dekat. Kalau dahulu ada Robinson dan Alfred Dunhill... semuanya sudah sejarah. Pejabat Pos Besar KL menjadi kunjunganku setiap bulan untuk menukar Telegram Money Order dari Kak Yam. Entah mengapa, ketakutanku hilang begitu saja. Kadang-kadang aku suka singgah di Jabatan Penerangan bersebelahan Mahkamah Majistret dan mengumpul brosur serta peta Kuala Lumpur.

Pernah juga aku ditemani seorang abang Tingkatan 6 Atas, Kamarulzaman Bidi dan beliau membelanjaku ais cendul yang dijual di tepi Pejabat Pos. Nikmat hingga tidak terkata... Aku hanya sekadar mundar-mandir di sepanjang Jalan TAR melalui Chop Ah Lan(kedai barangan Pengakap) sehingga ke Plaza Selangor di Chow Kit sambil melihat-lihat barangan yang dipamer di kedai. Membeli atau bertanya harga tak pernah sekalipun... mana ada duit. Pertama Complex yang baru dibuka sering aku kunjungi walaupun aku pernah masuki Campbell Complex yang kemudiannya hangus dijilat api.

Kedai P. Lal, Dyalchands dan Chotirmall memang tak ku singgahi... hanya pakaian original Made in USA seperti Lee dan Levi's dijual di sana. Yang sering ku singgah hanya Selangor Emporium untuk membeli biskut atau cokelat. Maklum saja sering lapar... Kalau aku agak rajin, mungkin aku naiki bas Ampang untuk ke Ampang Park. Kalau ada duit lebih barulah ikut kawan-kawan mencuba permainan di Amusement Park bersebelahan Beer Garden atau makan burger di gerai berhadapan Ampang Park. Itu sudah cukup mewah bagi kami.

Kali pertama menonton wayang ialah bersama Nik Murtadza (kini Superitenden di Bukit Aman) menonton Star Wars di Cathay pada tahun 1978. Tiket Circled Seats sekitar RM2.00 tapi kami hanya membeli tiket RM1.50 untuk 1st class kononnya.

Hari Sabtu yang lalu aku meredah Jalan TAR dan Masjid India sekali lagi hanya untuk bergunting rambut di kedai sahabat lamaku Ipeen di belakang Masjid India. Aku menjadi pelanggan tetap Ipeen sejak 1983 sewaktu beliau masih menggunting di kedai mamak bersebelahan stesen bas PJ Old Town. Antara pelanggan asal beliau ialah Dato' Johan Jaafar yang kemudiannya pernah menjadi sahabat dan bossku. Ipeen tukang gunting berkelulusan dari IKM dan memang popular dalam kalangan Mat Rock Kapak, pernah beberapa kali tersiar di akhbar dan televisyen sejak membuka kedainya sendiri di belakang Masjid India. Walaupun aku juga sering bergunting dengan Peggy di Pertama Complex, namun hanya Ipeen yang amat serasi. Ya lah... bersembang dengan Ipeen memang tak habis modal kerana dia kawan sekampung dengan kawan-kawanku di ITM dari Kuala Ketil seperti Hidayat dan Muzakir. Ipeen juga kenal dengan ahli keluargaku dan kawan-kawan sepejabat denganku. Dia sering bercerita tentang anak-anaknya yang semuanya pandai-pandai belaka. Tapi kami tak mengumpatlah pulak.

Di Pertama Complex sahabat lamaku ialah Jacky dan adiknya Yong yang menjahit seluar dan kot untuk ku sejak 1986 lagi kerana kesukaran untuk mendapat saiz yang sesuai. Jacky kerap bergurau... "Nik... Kalau you sama Eddie(anak saudaraku) potong seluar selalu saya rugi kain wooo... harga serupa saja"... Aku sempat juga singgah bersembang dengan Yong. Yong mengadu baru saja kena tipu dengan orang Filipino yang menempah 50 pasang kot dan memberi cek tendang. Antara pelanggan beliau yang tak pernah ku sangka ialah bekas bossku, Dato' Aziz Deraman. Potongan mereka dua beradik memang 1st class. Bakat turun-temurun dari bapa mereka yang membuka Romeo Tailor.

Bila aku singgah di sekitar Jalan Tun Perak, aku tak lupa ke Jalan Silang membeli tali gitar baru sambil berangan-angan nak membeli gitar Gibson Les Paul idamanku yang berharga RM10-13 ribu, tapi walaupun dah 30 tahun main gitar belum sampai tahap Eric Clapton atau Ritchie Blackmore lagi... memang sah.... benak!!! Gitarku yang pertama aku beli di sini, Woh Fatt Music House... Kapok berharga RM45 hasil simpanan 3 money order kiriman Abang Pin di tahun 1980.

Sering kali bila terasa lapar aku pasti singgah di kopitiam Capitol Cafe berhadapan Sogo. Nasi Padang Bahagia cukup membahagiakan seleraku. Suasana di dalam kopitiam tak pernah berubah. Pakcik yang sama masih berniaga sate yang enak di waktu malam dan rojak mamak di siang hari pasti menambat selera peminat rojak. Kadang-kadang aku memesan Mee Hailam atau Mee Sup pada apek veteran di Capitol Cafe. Walaupun sudah 30 tahun, namun rasanya masih kekal.

Hanya yang ku harap agar suasana begini akan kekal sekurang-kurangnya sehingga ke sisa akhir hidupku.

1 comment:

krambit said...

Kuala Lumpur revisited. Nicely put bro. You rekindled the old memories with the place you described. Does Ipeen still operates at the same place??