Tuesday, April 20, 2010

Kak Preimah

Saya mungkin tidak pernah mengenali manusia yang bernama Preimah Veerasami ini secara peribadi, tetapi kali pertama saya dapat bercakap dengan beliau melalui telefon memang amat menceriakan sepertimana yang kita dengar beliau berceloteh di Radio Malaysia Ibu Kota (RMIK) atau kemudiannya KLFM bertahun-tahun yang dulu...

Preimah yang lahir di Chennai, India pada tahun 1951 datang ke Malaysia bersama ibu beliau sewaktu beliau berusia 9 tahun kerana ayah beliau berkhidmat sebagai tentera British di Johor. Setelah bersekolah di Tangkak dan SIGS Johor Bahru beliau dah terbiasa dengan bahasa Melayunya yang amat fasih di samping bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. Berkelulusan Cambridge di zaman beliau adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi rakyat Malaya.

Kebolehan beliau bertutur dengan fasih dalam 3 bahasa utama Malaysia ini mengupayakan beliau mengendalikan rancangan radio dari Rangkaian Merah (bahasa Tamil) dan seterusnya berpindah ke RMIK di bawah kelolaan Arwah Nurnikman Dadameah. Celoteh beliau dengan pendengar RMIK memang tidak mengeringkan gusi kerana pengetahuan beliau tentang budaya Melayu amat mendalam. Beliau sebenarnya banyak membaca dan bertutur dalam bahasa Melayu Riau, iaitu kelaziman anak Johor.

Preimah mengakui banyak membaca dalam bahasa ibunda beliau Tamil tetapi mempunyai koleksi lebih 3,000 judul buku di perpustakaan kecil di rumah beliau. Beliau tanpa segan silu menyatakan minat membaca beliau sehingga terbawa-bawa membaca di dalam kamar kecil... sewaktu mencari ilham sambil melegakan keadaan perut...

Insan-insan seperti ini amat ikhlas dalam menjalani kehidupan dan kerjaya mereka, begitu juga kenalan peribadi saya yang lain seperti Kak Mariamah Tijo, Abang Ramlee Abu Bakar dan Abang Adenan Ali. Kalau nak dikira pendapatan mereka tidaklah begitu lumayan sewaktu di RTM tetapi cara mereka berkomunikasi dengan kita amat menyenangkan. Mereka bukan seperti ahli politik kerana tiada apa yang mereka hendak sorokkan...

No comments: