Dewan Bahasa sekali lagi akan menganjurkan program Astaka Minda bersempena dengan sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April 2010, jam 9.00 pagi di Dewan Seminar, Menara DBP.
Astaka Minda kali ini adalah sebuah forum bertajuk 'Gerakan Membaca: Rahsia Membaca???'. Kita sering mendengar kempen galakan membaca yang diwarwarkan oleh kerajaan di media cetak dan elektronik. Kumpulan sasaran mereka adalah masyarakat umum dari segenap generasi tanpa mengira bangsa atau agama. Sejauh manakah kempen seperti ini memberi impak kepada sasaran?
Kita sering mendengar perbincangan tentang galakan membaca hanya dari mereka yang terlibat secara langsung dalam usaha galakan membaca seperti Pustakawan, Guru, Pensyarah, Penulis, Penerbit dan golongan dalam industri perbukuan. Apa pula pendapat yang lain dan adakah mereka ini terpanggil dengan seruan atau kempen tersebut?
Untuk tujuan itu, Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengundang beberapa personaliti yang bukan dari golongan penggerak Kempen Membaca untuk meluahkan pendapat masing-masing. Ahli panel yang diundang ialah Ahmad Fedtri Yahya, pengacara rancangan Malaysia Hari Ini dari TV3 yang sememangnya cintakan buku dan sering membuat ulasan buku dalam program televisyen tersebut. Seorang lagi ahli panel ialah ASP Foo Chek Seng yang sering kita dengar suara beliau ke udara di radio KLFM melaporkan keadaan trafik di Kuala Lumpur. Ahli panel yang seterusnya ialah Preimah Veerasami, mantan pengacara popular radio KLFM.
Ketiga-tiga personaliti ini adalah mereka yang tidak ada kaitan langsung dengan usaha Gerakan Membaca oleh kerajaan tetapi mungkin hanya kerana minat mereka terhadap pembacaan boleh dikongsi bersama dengan para hadirin. Mungkinkah mereka boleh mencetuskan idea baru untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia? Sama-samalah kita saksikan... Untuk tujuan itu, silalah datang ke Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada 23 April 2010 ini, jam 9.00 pagi di Dewan Seminar, Menara DBP. Orang ramai dipersilakan hadir. Masuk adalah percuma.
No comments:
Post a Comment