Thursday, October 29, 2009

JEJAK SENI HATTA AZAD KHAN: DALAM KETAWA ADA MAKNA

Prof. Dr. Hatta Azad Khan bersama penulis

Prof. Hatta, pemenang anugerah SEA Write 2008 oleh Raja Thai.

Mungkin anda pernah menonton siri televisyen 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' yang popular dengan watak 'Mat Derih', 'Abon', 'Pak Uda', 'Pak Busu', 'Budin' dan 'Wan Ismail Golok'. Sebenarnya ini adalah watak-watak ciptaan Prof. Dr. Hatta Azad Khan, dalam karya dramanya.

Bermula dengan keberanian gandingan beliau dengan Othman Hafsham, pengarah yang popular dengan filem 'Mekanik' dan 'Adik Manja', beliau merupakan antara karyawan yang mula mempopularkan trend drama televisyen komedi berbentuk 'Sitcom'. Drama 'sitcom' pertama terbitan beliau dan Hafsham ialah 'Syy...', iaitu sebelum beliau melangkah lebih jauh dengan menerbitkan 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu'.

Anak kelahiran daerah Besut Terengganu ini mempunyai sentuhan yang tersendiri dalam mengangkat seni teater ke televisyen dan seterusnya mempopularkan teater dalam kalangan masyarakat Malaysia. Beliau pernah menerajui Istana Budaya setelah menubuhkan Fakulti Seni Persembahan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan kini menjadi Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Seni (FACT) di Universiti Teknologi MARA.

Antara filem yang telah mengangkat nama beliau ialah 'Wayang' dan 'Mat Som'. Antara skrip drama yang pernah beliau hasilkan ialah 'Mayat', 'Jebat' dan 'Kerusi'. Drama-drama ini menjadi pilihan golongan generasi muda untuk dipentaskan kerana ada kelainan pada sentuhan beliau dan isunya dapat diselami oleh generasi ini.

Bekas pelajar Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh yang pada asalnya terdidik dalam bidang sains tulen ini lebih selesa berkarya dalam bidang seni kreatif dan ternyata bintang beliau menyerlah dengan
penerimaan anugerah 'SEA Write' 2008 kurniaan Raja Thai, iaitu antara anugerah penulisan berprestij di Asia.

Bagi memberi peluang masyarakat mengenali beliau dengan lebih dekat, Pusat Dokumentasi Melayu dengan Bahagian Penerbitan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka akan menganjurkan acara Astaka Minda yang berjudul JEJAK SENI HATTA AZAD KHAN: DALAM KETAWA ADA MAKNA pada 16 November 2009, bermula jam 9.00 pagi. Sebagai pemanas acara, satu tayangan filem bertajuk 3 BUDAK MELAYU terbitan UITM akan diadakan sebelum acara Astaka Minda.

Pembicara kita pada kali ini ialah Sdr. Othman Hafsham (Cinematic sdn. Bhd.) yang sememangnya amat mengenali karya dan juga peribadi Hatta. Acara ini bakal dipengerusikan oleh Sdr. Rohani Yousoff, seorang lagi penggiat dan juga tenaga pengajar bidang teater yang terkenal dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Kepada yang berminat, silalah hadir ke Dewan Bahasa dan Pustaka pada 16 November ini. Penyeertaan adalah percuma dan terbuka kepada umum. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi saya Nik Aman Nik Yusoff (03-21481045 atau e-mel aman@dbp.gov.my) atau Sdr. Hiezam Hashim (03-21483540 atau e-mel izammh@dbp.gov.my). Kehadiran anda semua tentunya akan memeriahkan lagi acara ini.

Semoga kita berjumpa lagi.

No comments: