Monday, May 23, 2011

Hari ini saya nak bertutur Bahasa Melayu

Saya baru sahaja pulang dari menghadiri sebuah majlis perkahwinan yang gilang gemilang. Segalanya diatur dengan teliti dan berjalan dengan lancar sekali. Alhamdulillah dan tahniah kepada pasangan pengantin, ayahandanya dan pihak penganjur yang begitu cekap menjalankan tugas mereka.

Majlis berjalan dengan begitu lancar. Bermula dengan perarakan masuk tetamu kehormat kemudian disusuli pula dengan perarakan pengantin berlatarbelakangkan mainan muzik kumpulan gamelan secara langsung. Iringan selawat amat merdu sekali yang juga dialunkan dengan secara langsung tanpa mainan dari rakaman cakera padat. Kemudian selawat disahut pula dengan alunan paduan suara sebuah kumpulan nasyid yang tidak kurang juga merdunya.

Pengendalian majlis oleh pasangan pengacara majlis begitu lancar dan amat profesional tanpa sebarang kesilapan. Susunan bait-bait kata berpuisi dan penuh beradat ternyata meninggalkan kesan yang memukau para hadirin. Ditambah pula dengan bacaan doa yang amat jarang kita dengar di majlis-majlis perkahwinan yang lain kerana susunan kata-kata yang begitu puitis dan menyentuh kalbu setiap yang mengikuti doa tersebut bak menghayati bacaan syair syahdu seorang penyair sufi.

Setelah selesai sahaja aturcara yang telah diadun mesra maka tibalah pula giliran ucapan tahniah dari wakil sahabat pengantin. Maka dengan ayunan lenggang longlai derapan langkah sepasang sahabat lengkap bertudung dan berbaju kurung mulalah sahabat membuka bicara tatkala tiba sahaja di hadapan rostrum.

Aduhai... ku sangka panas hingga ke petang rupanya ribut taufan di tengahari... mula bicara santunnya dengan lafaz "Assalamualaikum..." namun jelas tampak hampa di wajah rakan-rakan yang duduk semeja denganku apabila ayat-ayat yang menyusul hanyalah "Good Evening to everybody and blah blah blah..." hinggalah ke bait-bait akhir ucapan beliau hanyalah berbahasa ibunda angkatnya sahaja tanpa sedikitpun menghormati bahasa Ibunda kandungnya.

Pelik tetapi benar... inilah hakikatnya anak muda zaman teknologi ICT yang baru setahun jagung mengenali alam pekerjaan telah lena dibuai mimpi indah bahawa para hadirin disangka cuma rakan sebaya tanpa menghiraukan tetamu kehormat yang agak resah di samping para hadirin lain yang hampir 98% adalah bangsa Melayu dan lebih 70% yang telah terlalu lama meninggalkan alam remaja dan sudahpun menghampiri jalan ke alam barzakh.

Tidak terlintaskah di fikiran anak-anak mentah ini untuk mengamati keadaan sekeliling dan cuba menyesuaikan bahasa ucapan dengan khalayak? Nauzubillah... adakah salah ibu bapa yang mendidik adab sopan orang muda tersebut? Kalau dilihat raut muka rasanya tidak ada secubitpun yang memungkinkan beliau berdarah keturunan Caucasian, malah tampak jelas raut wajah pesek Melayu-proto tersembul di layar video. Mungkinkah tersilap DNA atau genetik yang tergeliat? Atas alasan apakah maka terpacul bahasa ibunda angkat dalam seluruh ucapan beliau? Wallahualam... Renung-renungkanlah.... Selamat beramal...

No comments: